Thursday, February 3, 2011

FOTOSINTESIS..BUKTI KEKUASAANNYA..

Pagi itu saya masuk ke kelas dengan sebuah pasu bunga sambil tersenyum kepada anak-anak didik saya. Selepas ucapan salam,terpacul dari mulut beberapa pelajar…PROSES FOTOSINTESIS..

Saya hanya tersenyum..imej sebagai guru sains memaksa pelajar menganalisis apa sahaja perlakuan saya mengikut teori saintifik. Walaupun hakikatnya topik hari ini bukan proses fotosintesis, tetapi sebagai menghargai jawapan pelajar, saya membuat sedikit ulangkaji mengenai proses fotosintesis. Dan ianya juga merupakan pengetahuan sedia ada yangdiperlukan untuk memahami sistem pengangkutan di dalam tumbuhan.

Melihat keterujaan Afiq menyatakan proses fotosintesis, saya pun bertanya kepadanya..

“Apakah proses fotosintesis?”..soalan disambut dengan sengihan…

Hakikat yang sudah saya sedia maklum. Umumnya pelajar boleh menyatakan nama proses,tapi tidak tahu apakah tujuan proses tersebut. Maka tinggallah ilmu itu sesuatu yang tidak memberi makna kepada dirinya..rugi kan..

Mujurlah ada jawapan dari Aqmar menyejukkan hati saya yang mula kepanasan..

“Proses tumbuhan buat makanan cikgu”

Alhamdulilah..sekurang-kurangnya adalah ilmu yang melekat walaupun sedikit. Hakikatnya pelajar mengenali perkataan FOTOSINTESIS sejak di bangku sekolah rendah lagi. Malangnya hingga ke saat hampir meninggalkan bangku sekolah pun masih ada pelajar yang tidak faham dengan konsep ini. Konsep yang sangat hampir dengan kehidupan kita, dengan apa yang kita sedut setiap hari,dengan apa yang kita makan setiap hari, dengan apa yang kita lihat setiap hari..

Proses FOTOSINTESIS adalah diantara bukti kekuasaanNya dalam menciptakan makhluk. Manusia dan haiwan diciptakan boleh bergerak untuk melaksanakan tuntutan hidup ; mendapatkan makanan salah satu darinya. Namun manusia tidak dapat mencipta makanan sendiri..

“Ada tak manusia yang boleh cipta makanan sendiri?”

“Ada..mak saya..dia buat macam-macam makanan di dapur..” Safwan menjawab dengan yakin.

“Mak kamu cipta makanan dari apa? Contohnya nasi..adakah mak kamu buat sendiri?

“Tak..”

“Dari masa sumbernya?”

“Padi..” semakin ramai pelajar mengangguk. Menyedari hakikat bahawa manusia tidak dapat menghasilkan makanan sendiri tetapi hanya boleh memproses makanan. Semua bahan makanan manusia diproses dari hasil haiwan dan tumbuhan.

Dan Allah Maha Bijaksana telah menjadikan tumbuhan sebagai sejenis makhluk yang amat bermanfaat kepada semua benda hidup. Walaupun tidak boleh bergerak untuk mendapatkan makanan, tetapi Allah telah memberikan kelebihan kepadanya untuk memproses makanan sendiri.

“Ada tak sesiapa pernah nampak pokok berjalan-jalan mencari makanan, beratur di kantin atau makan di kedai-kedai makan?”

Soalan saya dijawab dengan deraian ketawa dari pelajar.

“Kalau pokok tak makan macam mana ia boleh hidup dan terus membesar? Semua benda hidupkan perlukan makanan..”

Ketukan minda ini adalah untuk menyakinkan pelajar bahawa ada satu proses yang sedang berlaku di dalam tumbuhan yang membolehkannya terus hidup dan dimanfaatkan oleh orang lain. Dan atas keyakinan inilah mereka akan lebih memahami konsep sains dalam proses fotosintesis. Konsep yang ringkas ini selamanya tidak akan di hayati oleh pelajar apabila mereka tidak merasai sumbangannya terhadap diri sendiri. Pengalaman berdepan dengan ratusan pelajar sederhana dan lemah yang dapat mengungkapkan perkataan FOTOSINTESIS dengan fasih,tetapi tidak memahami kandungannya memaksa saya bekerja keras berfikir apakah teknik terbaik untuk mereka memahaminya. Sehingga hari ini saya masih lagi mencari teknik-teknik yang lebih berkesan untuk memudahkan kefahaman pelajar. Kalaupun ada pelajar saya yang tidak berjaya dengan cemerlang,sekurang-kurangnya dengan memahami konsep ini mereka akan mensyukuri kehebatan ciptaanNya..

Fotosintesis ialah satu proses yang berlaku pada tumbuhan hijau untuk membuat makanan daripada air dan karbon dioksida. Proses ini hanya berlaku dengan kehadiran klorofil dan cahaya matahari. Lazimnya pelajar hendaklah mengingati persamaan ini;

Klorofil

Karbon dioksida + air glukosa (makanan) + oksigen

Cahaya matahari

Akar tumbuhan hijau akan menyerap air dan mineral dari dalam tanah. Semasa proses transpirasi (pernafasan tumbuhan) berlaku, gas karbon dioksida di dalam diserap oleh liang-liang stoma. Proses fotosintesis berlaku di dalam kehadiran klorofil (kilang hijau) yang terdapat di dalam daun. Proses ini mendapat sumber tenaga dari cahaya matahari. Hasil dari proses yang sangat kompleks ini ialah glukosa iaitu makanan yang akan membentuk semua pertumbuhan yangada pada tumbuhan tersebut. Bahan buangan dari proses fotosintesis ialah gas oksigen, yang merupakan sumber yang amat penting untuk menjamin survival kehidupan manusia dan haiwan!

Begitulah uniknya ciptaan Ilahi,mencipta satu kitaran yang amat sempurna sehingga tidak mampu kita sangkal lagi kehebatannya. Sebuah produktiviti yang amat berkesan ; menghasilkan bahan yang sangat diperlukan tanpa sedikit pun bahan buangan yang memudaratkan alam. Saling memerlukan antara manusia dan haiwan dalam meneruskan kehidupan sangat jelas andai kita meneliti sistem ini dengan mata hati. Betapa sehelai daun yang meliuk-liuk itu dapat menghasilkan sesuatu yang amat diperlukan oleh tubuh manusia. Dan betapa manusia yang seringkali mendabik dada merasakan dirinya sangat hebat tetapi tidak bisa meneruskan kehidupan tanpa oksigen dan glukosa yang terhasil dalam proses fotosintesis. Mengkaji ciptaanNya membawa kita dekat kepadaNya.. benarlah firmanNya

“dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda(kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Al-Quran:Ar-Ra’d:4)

No comments:

Post a Comment