Friday, March 25, 2011

Ke mana makanan yang kita makan?

Kecelaruan tugas...
itulah hakikat yang dihadapi minggu ini...
Isnin - di sekolah ; hanya 2 waktu mengajar - buat slip keputusan Ujian Penggal 1
Selasa - Mesyuarat Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan 2012 ; Guru data
Rabu - di sekolah ; hanya 2 waktu mengajar - selesaikan kerja pengurusan, Mesyuarat AJK PIBG
Khamis - Mesyuarat Anggaran Belanja Mengurus Perjawatan 2012 ; Guru data (kompilasi data)
Jumaat - Merentas Desa
Sabtu - Mesyuarat Agung PIBG

Dimana diriku sebagai guru? Dimana anak2 ku sebagai pelajar..
Realiti yang terpaksa dihadapi guru, tugas guru bukan sekadar mendidik namun walau bagaimana sibuk sekalipun guru tidak mungkin sesekali boleh mengabaikan tugasnya sebagai PENDIDIK.

Dalam kesibukan pengurusan yang tidak berkesudahan, aku melangkah ke kelas tingkatan 2 dengan model Sistem Penghadaman Manusia.

"Tu dia..nampak semua benda dalam perut!"

Sekadar tersenyum, misconception yang pertama..
Bukan dalam perut sayang..dalam badan manusia..

Kemudian saya memulakan pengajaran dengan membincangkan semula topik kelas-kelas makanan yang telah dipelajari sebelum ini.

"Jadi apa yang akan berlaku kepada zat-zat makanan yang terdapat di dalam makanan yang kita makan?"

"Badan serap" satu jawapan yang baik. "Bagaimana?"cungkilku untuk membantu pelajar membina pengetahuan.

"Ntah!" jawapan yang paling spontan yang biasa ku dengar.
Dan seperti selalunya soalan "pernahkah kamu fikir bagaimana..." akan berjawab dengan "tak pernah..." dengan penuh keyakinan.

Inilah satu kelemahan budaya pendidikan di Malaysia. Kita kurang mendidik masyarakat kita untuk berfikir. Kita amat selesa dengan budaya "spoon feed" sesuatu yang sangat mencabar untuk kita mengubah budaya ini. Namun ia adalah sesuatu yang WAJIB di ubah, andai kita mahu mencapai minda kelas pertama. Islam amat menitik beratkan budaya berfikir di kalangan ummatnya sehingga mengangkat mereka yang selalu berfikit tentang kebesaranNya sebagai Ulul Albab.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun dudukataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi dan berkata, 'Wahai Tuhan kami kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka"

Tuesday, March 15, 2011

Pencapaian terbaik pelajar selepas 5 tahun


Markah ini mungkin biasa bagi guru-guru di sekolah-sekolah pelajar terpilih...

Markah ini mungkin amat biasa bagi guru-guru di SBT,SBP.MRSM dan pelbagai sekolah ternama yang lain..

Tetapi markah ini adalah bermakna bagi guru seperti saya, yang berdepan dengan pelajar yang dipilih berdasarkan kriteria yang paling minimum dalam KBSR..menguasai 3M! Mungkin kriteria ini semakin asing di dalam sekolah-sekolah arus perdana hari ini, tetapi itulah indikator yang digunakan bagi sekolah kami yang baru bertatih-tatih menempa nama dalam arus pendidikan.

Dan pastinya bukan semua pelajar yang menguasai kemahiran membaca,menulis dan mengira ini sudah mempunyai kesediaan belajar dan tahap pemikiran yang bersesuaian dengan KBSM. Apatah lagi bagi subjek sains yang mengalami “zaman kecelaruan” semasa era PPSMI. Kecelaruan bahasa dengan penghayatan ilmu saintifik. Dan akhirnya guru yang baru membina pengalaman inilah menggunakan segala pengetahuan yang ada untuk mendidik anak-anak tersebut.

Dan kerana itulah nilai 90% itu adalah bermakna untukku. Bermakna untuk memberi keyakinan bahawa pengajaranku memberikan kesan kepada pelajar. Bermakna untuk menyakinkan diriku bahawa anak-anak didepanku ini mampu diasuh untuk membina kecemerlangan. Dan bermakna untuk menyakinkan bahawa dalam serba kekuarangan kami mampu membina kecemerlangan seandainya kami tidak berhenti berusaha.

Ya..jangan berhenti berusaha. Itulah hakikat yang perlu dilalui untuk menempa sebuah kejayaan. Pelajar membina laluan kejayaan peribadinya demi masa depannya sendiri, dan guru membina laluan kejayaan demi masa depan pelajarnya..dan pastinya ada ganjaran dari Yang Maha Pemberi. Usah gusar untuk terus berusaha kerana setiap usaha pasti akan membuahkan hasilnya.

Membina kerjaya di sebuah sekolah yang baru membangun dari segala aspek memerlukan aku untuk bersiap siaga dengan semua kepakaran. Tanpa guru senior dalam bidang sains yang boleh membimbing, tanpa makmal yang sempurna, tanpa pembantu makmal yang boleh membantu, tanpa persekitaran p&p yang kondusif dan pelbagai lagi kekangan yang ada, namun aku bersyukur kepadaNya. Kerana DIA telah mengurniakan kepadaku sebuah KEKUATAN untuk memikul amanah yang besar ini demi sebuah perjuangan menobatkan ILMU. Dengan kekuatan itulah aku terus bertatih dan akan berlari demi memacu kecemerlangan ummat ini dalam membina tamadun yang gemilang.

PMR 2009 – 1 calon mendapat A bagi Sains

PMR 2010 – 2 calon mendapat A bagi Sains

PMR 2011 – 3 calon mendapat A bagi Sains ; InsyaAllah..

Dan InsyaAllah, suatu hari nanti subjek Sains menjadi sebuah subjek yang amat mudah dimata pelajar SMATI.. InsyaAllah.. bukan gred yang menjadi ukuran, tetapi sejauh mana ILMU itu di AMAL kan untuk mencapai Mardhotillah yang menjadi keutamaan. Ayuh rakan guru, jangan berhenti BERUSAHA!

“Kau dah dewasa nak...”

Seisi P&P hari ini dirasakan seperti kelas Pendidikan Islam sepenuhnya. Dalam masa 35 minit ini, serasanya saya lebih banyak bercakap tentang penghayatan Islam berbanding teori sains. Ini adalah kerana perkembangan secara saintifik itu sudah sedia maklum oleh semua, tetapi penghayatan islami itu yang kurang di amalkan kebanyakan muslim.

Tajuk Akil Baligh dalam topik pembiakan ini memberi peluang kepada saya menitipkan pesanan-pesanan berharga untuk generasi pelapis ini menghadapi hari muka. Akil baligh adalah satu fasa yang mesti dilalui oleh semua muslim yang mukallaf. Bagi seorang lelaki, akil baligh biasanya berlaku dalam usia 12 – 15 tahun manakala 10 -13 tahun bagi perempuan. Proses akil baligh merangkumi perubahan dari aspek fizikal, psikologi dan emosi.

Secara saintifik, akil baligh dapat dirasai melalui perubahan primer dan perubahan sekunder. Perubahan primer ialah apabila organ seks individu tersebut mula berfungsi atau bersedia untuk pembiakan. Bagi seorang lelaki, apabila testis mula menghasilkan sperma, ia adalah detik dimana dia sudah meninggalkan zaman kanak-kanak. Pembebasan ovum oleh ovari yang membawa kepada berlakunya haid adalah petanda bahawa seorang perempuan itu sudah memasuki alam dewasa.

Selain dari itu, kesan kehadiran hormon seks apabila mencapai akil baligh juga menzahirkan beberapa perubahan sekunder.

“apa perbezaan yang paling ketara antara pelajar lelaki tingkatan satu dan tingkatan lima” soal saya.

“bentuk badan..makin tegap”

“suara..tingkatan lima suara garau...whooo..”ajukan seorang pelajar lelaki meniru suara perubahan suara mereka disambut ketawa besar.

Ya..itu adalah diantara perubahan yang ketara apabila seseorang lelaki mencapai akil baligh. Selain itu, dia juga akan ditumbuhi bulu sekitar muka, ketiak dan kemaluan. Kebanyakan lelaki juga akan mengalami pertumbuhan jerawat kesan kehadiran hormon di dalam badan. Dan bermula saat ini juga lelaki tersebut akan mengalami perubahan emosi dan psikologi. Kebanyakan lelaki mula mementingkan penampilan diri dan mula tertarik kepada kaum berlainan jantina. Jika selama ini tidak kisah dengan penampilan diri, melalui fasa akil baligh akan menampilkan gaya kelakian yang pelbagai. Menjadi lelaki yang mula prihatin dengan penampilan, dengan kebersihan dan percakapan. Dan tidak kurang juga yang mula mencuri-curi pandang kaum berlainan, dan mula menyuarakan hasrat merasai panahan cinta monyet!

Bagi seorang perempuan, kehadiran hormon seks menjadi pemula kepada perubahan besar di dalam hidupnya. Perubahan sekunder yang terzahir pada dirinya mendidik diri untuk bersifat kewanitaan. Tanpa perlu disoal, pelajar lelaki tidak sabar-sabar untuk menggambarkan perubahan sekunder tersebut.

“ada buah dada...punggung besar...haha...”

Gamat kelas dengan suara pelajar lelaki yang kebanyakannya telah mencapai akil baligh. Saya biarkan ketawa mereka bersisa dan kemudian menyoal..

“Siapa yang cipta benda yang kamu ketawakan tu?”

“Allah..” pelajar menjawab dalam serba salah.

“Jadi kalau kamu ketawakan kan benda tu, kamu ketawakan siapa?” pelajar mula menikus..menyesali keterlanjuran sendiri.

“Kamu semua dah dewasa, saya harap mulai dari hari ini kamu tidak lagi mempermainkan ciptaanNya. Setiap satu ciptaan itu ada sebab yang tertentu. Pernah tak kamu fikirkan kenapa tubuh seorang perempuan itu dicipta sedemikian rupa?”

Semua pelajar menikus, menunggu penerangan lanjut.

Wanita itu dijadikan Allah menggalas tanggungjawab yang besar, melahirkan keturunan manusia ke muka bumi. Punggung yang besar itu adalah persediaan wanita tersebut mengandungkan anak selama 9 bulan di dalam rahim dan seterusnya menghadapi proses pelahiran yang amat mencabar. Manakala buah dada itu adalah ciptaan unik dariNya sebagai saluran sumber makanan bagi seluruh anak manusia.

“Apakah makanan untuk anak manusia?”

“Susu ibu...” jawapan ikut skema..

“ok..sebagai bakal ibu dan bakal bapa, saya harap anak-anak kamu semua akan membesar dengan susu ibu..kerana susu manusia adalah untuk anak manusia..dengan ilmu dan teknologi yang ada, semua ibu boleh memberikan susu ibu selama mana anak perlukan.” Saya mengambil peluang menyuntik ilmu penyusuan.

Sebagai seorang muslim, fasa akil baligh bukan hanya perubahan fizikal dan emosi sahaja tetapi ia adalah permulaan penting kepada sebuah tanggungjawab. Bermula saat inilah semua amalan akan ditaklifkan keatas individu tersebut. Tiada lagi fasa latihan untuk belajar solat, culas berpuasa dan berlebih kurang dengan tuntutan fardhu ain lain. Akil baligh sebagai muslim bermakna bermulalah fasa memikul sendiri segala akibat amal perbuatan yang dilakukan. Kerana itu, akil baligh bagi sebagai muslim adalah meninggalkan zaman kanak-kanak yang penuh mainan dan senda gurau ke sebuah kehidupan yang lebih serius dan bertanggungjawab.

Sayangnya..akil baligh tidak diangkat sebagai sebuah fasa penting dalam kehidupan seharian kita. Kita selesa menggunakan pendekatan barat dalam menilai anak-anak di depan kita sebagai REMAJA-fasa mencari identiti;penuh kekeliruan. Benarkah terdapat fasa ini didalam kehidupan seorang muslim. Sepanjang pembacaan saya dan perbincangan dengan guru agama, di dalam Islam hanya terdapat peringkat kanak-kanak dan dewasa (mukallaf). Menyedarkan anak-anak di depan kita akan kedewasaan akan melahirkan individu yang bertanggungjawab sekaligus membina jatidiri muslim yang teguh.

“kamu rasa macam mana kalau saya kata..kamu semua ni dah dewasa..”

“iskh..kami rasa macam kami dah tua ja cikgu..” respon pelajar yang agak matang.

Ya..itulah hakikatnya. Apabila kita meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada anak-anak yang sudah akil baligh, mereka akan lebih bertanggungjawab. Malangnya hari ini anak-anak yang akil baligh itu dipanggil remaja, yang seringkali pula dikaitkan dengan pelbagai permasalahan sosial dan pelbagai lagi gambaran yang negatif. Jarang sekali istilah remaja itu dikaitkan dengan nilai yang positif yang akan merangsang kecemerlangan. Secara tidak sedar kita telah merendahkan anak-anak di depan kita yang akhirnya menyebabkan mereka benar-benar tidak berkeyakinan menguruskan kehidupan sendiri. Sebenarnya anak-anak ini sudah mampu menggalas tugas-tugas penting hatta Islam sendiri mengizinkan perkahwinan seandainya telah memenuhi syarat sah nikah setelah mencapai akil baligh.

Marilah kita mengambil iktibar dari Deen yang unggul ini, bahawa anak-anak yang telah mencapai akil baligh sepatutnya dilatih menggalas tanggungjawab yang besar. Tanggungjawab menguruskan ahli keluarga, menguruskan organisasi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Betapa kita mengambil ibrah dari perjalanan hidup ramai tokoh-tokoh Islam mencapai kecemerlangan pada awal usia dewasa kerana mereka tidak terjerumus di alam REMAJA yang keliru..

Wallahualam..

Tuesday, March 1, 2011

Gasing oh gasing...

Hari ini saya berpeluang mengikuti Bengkel Inkuiri Guru anjuran Petrosains. Bengkel ini menggunakan modul dari Exploratarium,San Francisco. Exploratarium adalah salah sebuah pusat yang menjalankan penyelidikan mengenai pembelajaran inkuiri. Bengkel separuh hari ini memberikan saya pendedahan teknik melaksanakan aktiviti ‘hands-on’ dengan lebih berkesan.

Namun entri ini bukanlah bertujuan untuk berkongsi kandungan bengkel tersebut. Oleh kerana modul bengkel ini berbayar, jadi tidak profesional kalau saya mendedahkan kandungan bengkel tersebut di sini. Saya sekadar mahu menyarankan kepada rakan-rakan pendidik untuk menyertai bengkel ini jika mempunyai peluang pada masa-masa akan datang. InsyaAllah bermanfaat untuk nilai tambah sebagai guru.

Saya sekadar ingin berkongsi objek yang telah digunakan di dalam bengkel ini bagi memahami teknik pembelajaran inkuri. Iaitu gasing! Banyak konsep sains yang boleh diterjemahkan dalam proses membuat gasing. Dan pastinya ia akan menjadi satu proses pembelajaran yang menyeronokkan.

Sebelum mula beraktiviti, ini adalah bahan-bahan yang diperlukan..

kadbod/pinggan kertas/pinggan plastik pakai buang, pensel,gelang getah, jangka lukis, washer/syiling 1 sen, pembaris dan masking tape

Kemudian, guru boleh memberikan masa di antara 10 – 25 untuk pelajar menyiapkan model gasing masing.

Saiz badan gasing dan panjang pensel mempengaruhi tempoh pusingan gasing

Yang ditunggu-tunggu..seisi pengujian gasing masing-masing. Boleh buat ‘spinning race’ antara kumpulan. Menarik kan..

Diantara gasing yang berjaya dihasilkan di dalam kumpulan kami.

Badan gasing boleh dihasilkan menggunakan mounting board,pinggan kertas atau piring pakai buang plastik. Ia akan memberikan hasil yang berbeza

Selesai beraktiviti, guru mengendalikan perbincangan mengenai konsep sains yang terlibat di dalam aktiviti tersebut. Selamat mencuba!