Sunday, February 13, 2011

SEPASANG GINJAL

Topik PERKUMUHAN dalam Sains tingkatan 3 adalah diantara topik yang mudah kerana menghuraikan satu sistem yang agak ringkas. Walaupun secara teorinya sistem ini sangat ringkas, namun proses ini sangat penting demi kesejahteraan hidup kita. Teringat saya kepada arwah datuk yang menderita tidak dapat membuang air kecil ketika di hujung usianya. Keadaan ini menyebabkan beliau selalu mengalami sesak nafas dan akhirnya beliau pergi sebelum sempat menjalani rawatan. Al-Fatihah..

Menginsafi betapa pentingnya kefahaman mengenai sistem yang berfungsi di dalam badan kita, saya cuba menyampaikan pengajaran dengan sebaik mungkin supaya anak-anak yang lahir dari kelas sains saya adalah anak-anak yang celik mengenai tubuh badan mereka sendiri. Saya selalu menekankan di dalam kelas, amat teruklah diri kita kalau apa yang berlaku di dalam tubuh kita sendiri pun kita tak ambil tahu. Dan yang lebih utama,apabila kita mula faham tentang apa yang berlaku di dalam tubuh badan kita, kita akan lebih mengagungkan Penciptanya..

“cuba kamu bayangkan, macam mana keadaan kita kalau semua air yang kita minum setiap hari tidak disimpan di dalam badan”

Pelajar mula ketawa.. “jadi belon la cikgu...”

“buncit la perut...”

“boleh mati la kot...”

Ya..kita sedar,badan kita tidak mampu menampung semua air yang diminum. Tapi mungkin kita jarang berfikir tentang proses yang berlaku secara semulajadi di dalam badan kita. Proses perkumuhan ialah satu proses yang berlaku untuk menyingkirkan bahan buangan dari badan kita. Bahan buangan itu terdiri daripada AIR, KARBON DIOKSIDA, GARAM MINERAL DAN UREA. Bahan-bahan ini disingkirkan oleh organ perkumuhan ; KULIT melalui PERPELUHAN, PARU-PARU melalui PERNAFASAN dan GINJAL melalui proses pengurinan.

Sistem urinari kita adalah satu sistem yang amat canggih jika kita kaji dengan mendalam. Ia terdiri daripada sepasang ginjal, saluran ureter, pundi kencing dan uretra. Walaupun hakikatnya kita mampu hidup dengan satu ginjal,tapi Allah membekalkan dua ginjal demi memenuhi keperluannnya yang amat penting di dalam badan kita. Di dalam ginjal, darah akan ditapis dalam jaringan-jaringan halus dalam korteks dan medula. Hasil bahan buangan akan terkumpul di pelvis dan disalurkan ke pundi kencing melalui ureter.

Air kencing akan disimpan di dalam pundi kencing sehingga hampir penuh,dimana keadaannya kita merasa hendak membuang air kecil. Pundi kencing juga merupakan satu lagi anugerahNya sebagai kemudahan dalam menjalani kehidupan seharian. Bayangkan jika tiada ruang penyimpanan seperti pundi kencing, pasti kita terpaksa mengusung beg air kencing kesana kemari.

Ginjal merupakan organ yang amat penting dalam menjayakan sistem urinari ini. Jika ginjal gagal berfungsi dengan baik, pelbagai masalah kesihatan akan timbul yang membawa kepada ketidakselesaan penghidapnya. Kandungan air,bahan mineral dan urea berlebihan dalam darah di tapis di ginjal. Jika sistem penapisan ini tidak berlaku dengan baik, maka longgokan bahan buangan ini di dalam darah akan membawa pelbagai masalah kesihatan yang serius. Seseorang yang telah mengalami kegagalan buah pinggang terpaksa menjalani hemodialisis dimana sebuah mesin akan menjalankan fungsi sepasang ginjal. Jika berpeluang melihat mesin dialisis ini, kita akan merasa sangat kagum dengan kecanggihan rekaan manusia. Tetapi sedetik kemudian kita akan tersedar, betapa hebatnya ciptaan Allah yang Maha Agung. Walau secanggih manapun ciptaan manusia, selama mana pun ia tidak dapat menandingi ciptaan Allah. Betapa manusia mampu mencipta satu alat yang boleh melaksanakan fungsi organ di dalam tubuh kita, namun alat ciptaan itu saiznya mencecah seratus kali ganda saiz organ ciptaan Allah. Dan dengan segala keterbatasan yang ada pada ciptaan manusia, seharusnya kita mengakui..

“maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan” (Al-Quran;Ar-Rahman;13)

No comments:

Post a Comment