Saturday, February 19, 2011

BAB 4,TINGKATAN 3


Seisi P&P selepas waktu rehat adalah saat yang mencabar untuk guru dan pelajar. Guru berusaha menenangkan diri sendiri dengan kerenah pelajar yang berlengah masuk ke kelas. Di pihak pelajar pula, cabaran pertama ialah perlu terburu-buru menghabiskan makanan, menyelesaikan urusan peribadi yang pelbagai dalam masa 20 minit... tapi itulah hakikat masa, andai kita tidak menguruskan, kita akan ketinggalan. “al-wakt kas soif”

Walaupun kelewatan memulakan P&P hampir 5 minit, ku gagahi menghadiahkan senyuman untuk memulakan pengajaran. Dan set induksi ku juga berjaya meraih minat pelajar untuk mula belajar. Saya meminta seorang pelajar menulis carta hirarki dari moyang hingga ke dirinya dan bertanyakan kepada kelas apakah proses semulajadi yang berlaku yang menyumbang kepada kewujudan carta hirarki ini. Soalan disambut dengan senyum-senyum pelajar lelaki dan dan sipu-sipu pelajar perempuan. Apahal?

Itulah fenomena biasa sains tingkatan 3.. sedari awal tahun pelajar sudah mula peka dengan kehadiran bab ini..

“cikgu..bila kita nak belajar bab 4”...

“cikgu..sekolah dot..dot..dot.. dah masuk bab 4 dah..kita ni da ketinggalan..”

Dan masanya sudah tiba, tajuk yang ditulis di papan putih sangat mengujakan pelajar-pelajar yang sering bertanya itu..

Saya mulakan bab dengan membincangkan madsud pembiakan dan kepentingannya kepada benda hidup. Sebagai smash yang pertama, saya soal kembali apa yang dimadsudkan dengan pembiakan. Bukan seorang, bahkan majoriti tidak dapat memberikan madsud pembiakan dengan tepat. Ape maknenye ke‘excited’an itu?

Inilah masalah yang muncul apabila ekspetasi awal adalah terhadap perkara yang terpesong. Definisi pun dah tunggang langgang..

“ Pembiakan ialah suatu proses melahirkan individu baru dari individu sedia ada. Susah ke definisi tu?”

Pelajar sekadar tersengih.

Kemudian masuk bahagian kedua,saya melukis peta konsep di papan putih.

“Pembiakan terbahagi kepada dua jenis, pembiakan aseks dan pembiakan seks. Haa..kamu mana jumpa benda ni dalam internet”

“ha..ha..ha..” selorohku disambut dengan ketawa besar sebahagian besar pelajar. Mungkin menyedari apa yang ada di dalam fikiran mereka telah ditebak!

Kemudian saya mula menerangkan madsud pembiakan aseks,kaedah pembiakan aseks beserta dengan contoh hidupan yang membiak melalui pembiakan aseks. Pembiakan aseks ialah pembiakan yang melibatkan satu individu sahaja. Terdapat lima kaedah pembiakan aseks iaitu belahan dedua, pertunasan, percambahan spora, pembiakan vegetatif dan penjanaan semula. Setiap kaedah diterangkan bagaimana proses pembiakan itu berlaku serta contoh hidupan yang membiak melalui kaedah tersebut. Saya menunjukkan gambar hidupan yang terlibat.

Saya mula dapat memerhatikan beberapa pelajar sedang bertarung dengan cabaran kedua kelas selepas waktu rehat. Cabaran mencelikkan mata yang mula memberat lantaran beban yang sedang ditanggung di dalam sistem penghadaman.

“Eh..tadi kemain excited tak kan dah ngantuk kot”

Tetiba terpacul soalan dari pelajar yang paling jujur di dalam kelas ini..

“cikgu..saya heran la..pasai pa depa kata bab ini ada “macam2”..ni tak dak apa pun..”

Saya.. “saya pun heran jugak, “macam2” apa yang kamu nak tau tu?”

Soalan saya tidak berjawab..yang jelas ramai yang sudah hilang minat untuk mendengar setiap bucu di tapak sulaiman boleh menghasilkan anak baru. Semuanya menjadi hambar lantaran impian yang tidak tercapai..impian untuk belajar mengenai “macam2”!

Keadaan menjadi sedikit ceria apabila saya mula menerangkan mengenai pembiakan seks. Pembiakan seks ialah pembiakan yang melibatkan dua individu yang sama speisis. Saya menyelitkan sedikit perkongsian mengenai kajian pihak tertentu yang cuba mengkaji hasil pembiakan manusia dengan haiwan tertentu. Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang amat berlawanan dengan fitrah dan hanya akan membawa kehancuran.

Pembiakan seks berlaku dengan persenyawaan di antara gamet jantan dan gamet betina membentuk zigot. Zigot ini akan membesar dan lahir sebagai individu baru. Pelajar juga diterangkan perbezaan di antara persenyawaan dalam dan persenyawaan luar. Seisi pengajaran di akhiri dengan membuat kesimpulan persamaan dan perbezaan di antara pembiakan aseks dan pembiakan seks.

Sehingga akhir seisi P&P saya dapat mengesan ketidakpuasan hati beberapa pelajar di atas pembelajaran hari ini. Hajat tak tercapai..sabar ye nak..masanya akan tiba.. ya..masanya akan tiba untuk kamu mempelajari apa yang kamu tunggu itu. Dari pengalaman saya, apabila berakhirnya bab ini, ramai pelajar yang membuat kesimpulan..tak best pun..kenapa?

Kerana nilai ilmu reproduksi yang sepatutnya dipelajari secara ilmiah telah dipornokan! Kerana pelajar merasakan apa yang dipelajari tidak seindah apa yang dilihat secara curi-curi dari laman-laman lucah. Kerana terpesongnya kefahaman mengenai seks! Seks dilihat sebagai satu simbol berseronok-seronok, bukan sebagai sebuah fitrah.

Hakikatnya pengajaran topik pembiakan di dalam sukatan pelajaran sains tingkatan 3 adalah satu masa yang sesuai untuk pelajar mempelajari mengenai fitrah. Pada usia ini kebanyakan pelajar telah mencapai akil baligh dan lebih matang menilai setiap ilmu yang dipelajari. Sayangnya topik ini seringkali dinilai secara negatif sehingga menyebabkan pelajar tidak mendapat nilai-nilai yang sepatutnya difahami. Akhirnya ilmu yang penting tidak dapat dikecapi, malah nilai kehidupan kita masih berada di takuk lama.

Melalui fasa kehamilan dan kelahiran pertama menyuntik semangat saya untuk mengajar ilmu pembiakan dengan sebaik mungkin. Betapa bermanfaatnya pasangan suami isteri yang memahami sistem reproduksi manusia, betapa pentingnya bakal ibu mengetahui setiap perkembangan yang berlaku sepanjang proses kehamilan dan betapa sejahteranya hidup andai setiap kehamilan berlaku dengan terancang dan diterima dengan gembira. Inilah di antara nilai-nilai penting yang sepatutnya dihayati oleh pelajar yang bakal menjadi suami dan isteri, ibu dan ayah suatu hari ini. Ilmu yang disampaikan dengan mesej yang jelas akan membantu pelajar membina keluarga yang sejahtera seterusnya membentuk masyarakat yang bertamadun.

Sunday, February 13, 2011

SEPASANG GINJAL

Topik PERKUMUHAN dalam Sains tingkatan 3 adalah diantara topik yang mudah kerana menghuraikan satu sistem yang agak ringkas. Walaupun secara teorinya sistem ini sangat ringkas, namun proses ini sangat penting demi kesejahteraan hidup kita. Teringat saya kepada arwah datuk yang menderita tidak dapat membuang air kecil ketika di hujung usianya. Keadaan ini menyebabkan beliau selalu mengalami sesak nafas dan akhirnya beliau pergi sebelum sempat menjalani rawatan. Al-Fatihah..

Menginsafi betapa pentingnya kefahaman mengenai sistem yang berfungsi di dalam badan kita, saya cuba menyampaikan pengajaran dengan sebaik mungkin supaya anak-anak yang lahir dari kelas sains saya adalah anak-anak yang celik mengenai tubuh badan mereka sendiri. Saya selalu menekankan di dalam kelas, amat teruklah diri kita kalau apa yang berlaku di dalam tubuh kita sendiri pun kita tak ambil tahu. Dan yang lebih utama,apabila kita mula faham tentang apa yang berlaku di dalam tubuh badan kita, kita akan lebih mengagungkan Penciptanya..

“cuba kamu bayangkan, macam mana keadaan kita kalau semua air yang kita minum setiap hari tidak disimpan di dalam badan”

Pelajar mula ketawa.. “jadi belon la cikgu...”

“buncit la perut...”

“boleh mati la kot...”

Ya..kita sedar,badan kita tidak mampu menampung semua air yang diminum. Tapi mungkin kita jarang berfikir tentang proses yang berlaku secara semulajadi di dalam badan kita. Proses perkumuhan ialah satu proses yang berlaku untuk menyingkirkan bahan buangan dari badan kita. Bahan buangan itu terdiri daripada AIR, KARBON DIOKSIDA, GARAM MINERAL DAN UREA. Bahan-bahan ini disingkirkan oleh organ perkumuhan ; KULIT melalui PERPELUHAN, PARU-PARU melalui PERNAFASAN dan GINJAL melalui proses pengurinan.

Sistem urinari kita adalah satu sistem yang amat canggih jika kita kaji dengan mendalam. Ia terdiri daripada sepasang ginjal, saluran ureter, pundi kencing dan uretra. Walaupun hakikatnya kita mampu hidup dengan satu ginjal,tapi Allah membekalkan dua ginjal demi memenuhi keperluannnya yang amat penting di dalam badan kita. Di dalam ginjal, darah akan ditapis dalam jaringan-jaringan halus dalam korteks dan medula. Hasil bahan buangan akan terkumpul di pelvis dan disalurkan ke pundi kencing melalui ureter.

Air kencing akan disimpan di dalam pundi kencing sehingga hampir penuh,dimana keadaannya kita merasa hendak membuang air kecil. Pundi kencing juga merupakan satu lagi anugerahNya sebagai kemudahan dalam menjalani kehidupan seharian. Bayangkan jika tiada ruang penyimpanan seperti pundi kencing, pasti kita terpaksa mengusung beg air kencing kesana kemari.

Ginjal merupakan organ yang amat penting dalam menjayakan sistem urinari ini. Jika ginjal gagal berfungsi dengan baik, pelbagai masalah kesihatan akan timbul yang membawa kepada ketidakselesaan penghidapnya. Kandungan air,bahan mineral dan urea berlebihan dalam darah di tapis di ginjal. Jika sistem penapisan ini tidak berlaku dengan baik, maka longgokan bahan buangan ini di dalam darah akan membawa pelbagai masalah kesihatan yang serius. Seseorang yang telah mengalami kegagalan buah pinggang terpaksa menjalani hemodialisis dimana sebuah mesin akan menjalankan fungsi sepasang ginjal. Jika berpeluang melihat mesin dialisis ini, kita akan merasa sangat kagum dengan kecanggihan rekaan manusia. Tetapi sedetik kemudian kita akan tersedar, betapa hebatnya ciptaan Allah yang Maha Agung. Walau secanggih manapun ciptaan manusia, selama mana pun ia tidak dapat menandingi ciptaan Allah. Betapa manusia mampu mencipta satu alat yang boleh melaksanakan fungsi organ di dalam tubuh kita, namun alat ciptaan itu saiznya mencecah seratus kali ganda saiz organ ciptaan Allah. Dan dengan segala keterbatasan yang ada pada ciptaan manusia, seharusnya kita mengakui..

“maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan” (Al-Quran;Ar-Rahman;13)

Thursday, February 3, 2011

FOTOSINTESIS..BUKTI KEKUASAANNYA..

Pagi itu saya masuk ke kelas dengan sebuah pasu bunga sambil tersenyum kepada anak-anak didik saya. Selepas ucapan salam,terpacul dari mulut beberapa pelajar…PROSES FOTOSINTESIS..

Saya hanya tersenyum..imej sebagai guru sains memaksa pelajar menganalisis apa sahaja perlakuan saya mengikut teori saintifik. Walaupun hakikatnya topik hari ini bukan proses fotosintesis, tetapi sebagai menghargai jawapan pelajar, saya membuat sedikit ulangkaji mengenai proses fotosintesis. Dan ianya juga merupakan pengetahuan sedia ada yangdiperlukan untuk memahami sistem pengangkutan di dalam tumbuhan.

Melihat keterujaan Afiq menyatakan proses fotosintesis, saya pun bertanya kepadanya..

“Apakah proses fotosintesis?”..soalan disambut dengan sengihan…

Hakikat yang sudah saya sedia maklum. Umumnya pelajar boleh menyatakan nama proses,tapi tidak tahu apakah tujuan proses tersebut. Maka tinggallah ilmu itu sesuatu yang tidak memberi makna kepada dirinya..rugi kan..

Mujurlah ada jawapan dari Aqmar menyejukkan hati saya yang mula kepanasan..

“Proses tumbuhan buat makanan cikgu”

Alhamdulilah..sekurang-kurangnya adalah ilmu yang melekat walaupun sedikit. Hakikatnya pelajar mengenali perkataan FOTOSINTESIS sejak di bangku sekolah rendah lagi. Malangnya hingga ke saat hampir meninggalkan bangku sekolah pun masih ada pelajar yang tidak faham dengan konsep ini. Konsep yang sangat hampir dengan kehidupan kita, dengan apa yang kita sedut setiap hari,dengan apa yang kita makan setiap hari, dengan apa yang kita lihat setiap hari..

Proses FOTOSINTESIS adalah diantara bukti kekuasaanNya dalam menciptakan makhluk. Manusia dan haiwan diciptakan boleh bergerak untuk melaksanakan tuntutan hidup ; mendapatkan makanan salah satu darinya. Namun manusia tidak dapat mencipta makanan sendiri..

“Ada tak manusia yang boleh cipta makanan sendiri?”

“Ada..mak saya..dia buat macam-macam makanan di dapur..” Safwan menjawab dengan yakin.

“Mak kamu cipta makanan dari apa? Contohnya nasi..adakah mak kamu buat sendiri?

“Tak..”

“Dari masa sumbernya?”

“Padi..” semakin ramai pelajar mengangguk. Menyedari hakikat bahawa manusia tidak dapat menghasilkan makanan sendiri tetapi hanya boleh memproses makanan. Semua bahan makanan manusia diproses dari hasil haiwan dan tumbuhan.

Dan Allah Maha Bijaksana telah menjadikan tumbuhan sebagai sejenis makhluk yang amat bermanfaat kepada semua benda hidup. Walaupun tidak boleh bergerak untuk mendapatkan makanan, tetapi Allah telah memberikan kelebihan kepadanya untuk memproses makanan sendiri.

“Ada tak sesiapa pernah nampak pokok berjalan-jalan mencari makanan, beratur di kantin atau makan di kedai-kedai makan?”

Soalan saya dijawab dengan deraian ketawa dari pelajar.

“Kalau pokok tak makan macam mana ia boleh hidup dan terus membesar? Semua benda hidupkan perlukan makanan..”

Ketukan minda ini adalah untuk menyakinkan pelajar bahawa ada satu proses yang sedang berlaku di dalam tumbuhan yang membolehkannya terus hidup dan dimanfaatkan oleh orang lain. Dan atas keyakinan inilah mereka akan lebih memahami konsep sains dalam proses fotosintesis. Konsep yang ringkas ini selamanya tidak akan di hayati oleh pelajar apabila mereka tidak merasai sumbangannya terhadap diri sendiri. Pengalaman berdepan dengan ratusan pelajar sederhana dan lemah yang dapat mengungkapkan perkataan FOTOSINTESIS dengan fasih,tetapi tidak memahami kandungannya memaksa saya bekerja keras berfikir apakah teknik terbaik untuk mereka memahaminya. Sehingga hari ini saya masih lagi mencari teknik-teknik yang lebih berkesan untuk memudahkan kefahaman pelajar. Kalaupun ada pelajar saya yang tidak berjaya dengan cemerlang,sekurang-kurangnya dengan memahami konsep ini mereka akan mensyukuri kehebatan ciptaanNya..

Fotosintesis ialah satu proses yang berlaku pada tumbuhan hijau untuk membuat makanan daripada air dan karbon dioksida. Proses ini hanya berlaku dengan kehadiran klorofil dan cahaya matahari. Lazimnya pelajar hendaklah mengingati persamaan ini;

Klorofil

Karbon dioksida + air glukosa (makanan) + oksigen

Cahaya matahari

Akar tumbuhan hijau akan menyerap air dan mineral dari dalam tanah. Semasa proses transpirasi (pernafasan tumbuhan) berlaku, gas karbon dioksida di dalam diserap oleh liang-liang stoma. Proses fotosintesis berlaku di dalam kehadiran klorofil (kilang hijau) yang terdapat di dalam daun. Proses ini mendapat sumber tenaga dari cahaya matahari. Hasil dari proses yang sangat kompleks ini ialah glukosa iaitu makanan yang akan membentuk semua pertumbuhan yangada pada tumbuhan tersebut. Bahan buangan dari proses fotosintesis ialah gas oksigen, yang merupakan sumber yang amat penting untuk menjamin survival kehidupan manusia dan haiwan!

Begitulah uniknya ciptaan Ilahi,mencipta satu kitaran yang amat sempurna sehingga tidak mampu kita sangkal lagi kehebatannya. Sebuah produktiviti yang amat berkesan ; menghasilkan bahan yang sangat diperlukan tanpa sedikit pun bahan buangan yang memudaratkan alam. Saling memerlukan antara manusia dan haiwan dalam meneruskan kehidupan sangat jelas andai kita meneliti sistem ini dengan mata hati. Betapa sehelai daun yang meliuk-liuk itu dapat menghasilkan sesuatu yang amat diperlukan oleh tubuh manusia. Dan betapa manusia yang seringkali mendabik dada merasakan dirinya sangat hebat tetapi tidak bisa meneruskan kehidupan tanpa oksigen dan glukosa yang terhasil dalam proses fotosintesis. Mengkaji ciptaanNya membawa kita dekat kepadaNya.. benarlah firmanNya

“dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda(kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Al-Quran:Ar-Ra’d:4)