Tuesday, March 15, 2011

“Kau dah dewasa nak...”

Seisi P&P hari ini dirasakan seperti kelas Pendidikan Islam sepenuhnya. Dalam masa 35 minit ini, serasanya saya lebih banyak bercakap tentang penghayatan Islam berbanding teori sains. Ini adalah kerana perkembangan secara saintifik itu sudah sedia maklum oleh semua, tetapi penghayatan islami itu yang kurang di amalkan kebanyakan muslim.

Tajuk Akil Baligh dalam topik pembiakan ini memberi peluang kepada saya menitipkan pesanan-pesanan berharga untuk generasi pelapis ini menghadapi hari muka. Akil baligh adalah satu fasa yang mesti dilalui oleh semua muslim yang mukallaf. Bagi seorang lelaki, akil baligh biasanya berlaku dalam usia 12 – 15 tahun manakala 10 -13 tahun bagi perempuan. Proses akil baligh merangkumi perubahan dari aspek fizikal, psikologi dan emosi.

Secara saintifik, akil baligh dapat dirasai melalui perubahan primer dan perubahan sekunder. Perubahan primer ialah apabila organ seks individu tersebut mula berfungsi atau bersedia untuk pembiakan. Bagi seorang lelaki, apabila testis mula menghasilkan sperma, ia adalah detik dimana dia sudah meninggalkan zaman kanak-kanak. Pembebasan ovum oleh ovari yang membawa kepada berlakunya haid adalah petanda bahawa seorang perempuan itu sudah memasuki alam dewasa.

Selain dari itu, kesan kehadiran hormon seks apabila mencapai akil baligh juga menzahirkan beberapa perubahan sekunder.

“apa perbezaan yang paling ketara antara pelajar lelaki tingkatan satu dan tingkatan lima” soal saya.

“bentuk badan..makin tegap”

“suara..tingkatan lima suara garau...whooo..”ajukan seorang pelajar lelaki meniru suara perubahan suara mereka disambut ketawa besar.

Ya..itu adalah diantara perubahan yang ketara apabila seseorang lelaki mencapai akil baligh. Selain itu, dia juga akan ditumbuhi bulu sekitar muka, ketiak dan kemaluan. Kebanyakan lelaki juga akan mengalami pertumbuhan jerawat kesan kehadiran hormon di dalam badan. Dan bermula saat ini juga lelaki tersebut akan mengalami perubahan emosi dan psikologi. Kebanyakan lelaki mula mementingkan penampilan diri dan mula tertarik kepada kaum berlainan jantina. Jika selama ini tidak kisah dengan penampilan diri, melalui fasa akil baligh akan menampilkan gaya kelakian yang pelbagai. Menjadi lelaki yang mula prihatin dengan penampilan, dengan kebersihan dan percakapan. Dan tidak kurang juga yang mula mencuri-curi pandang kaum berlainan, dan mula menyuarakan hasrat merasai panahan cinta monyet!

Bagi seorang perempuan, kehadiran hormon seks menjadi pemula kepada perubahan besar di dalam hidupnya. Perubahan sekunder yang terzahir pada dirinya mendidik diri untuk bersifat kewanitaan. Tanpa perlu disoal, pelajar lelaki tidak sabar-sabar untuk menggambarkan perubahan sekunder tersebut.

“ada buah dada...punggung besar...haha...”

Gamat kelas dengan suara pelajar lelaki yang kebanyakannya telah mencapai akil baligh. Saya biarkan ketawa mereka bersisa dan kemudian menyoal..

“Siapa yang cipta benda yang kamu ketawakan tu?”

“Allah..” pelajar menjawab dalam serba salah.

“Jadi kalau kamu ketawakan kan benda tu, kamu ketawakan siapa?” pelajar mula menikus..menyesali keterlanjuran sendiri.

“Kamu semua dah dewasa, saya harap mulai dari hari ini kamu tidak lagi mempermainkan ciptaanNya. Setiap satu ciptaan itu ada sebab yang tertentu. Pernah tak kamu fikirkan kenapa tubuh seorang perempuan itu dicipta sedemikian rupa?”

Semua pelajar menikus, menunggu penerangan lanjut.

Wanita itu dijadikan Allah menggalas tanggungjawab yang besar, melahirkan keturunan manusia ke muka bumi. Punggung yang besar itu adalah persediaan wanita tersebut mengandungkan anak selama 9 bulan di dalam rahim dan seterusnya menghadapi proses pelahiran yang amat mencabar. Manakala buah dada itu adalah ciptaan unik dariNya sebagai saluran sumber makanan bagi seluruh anak manusia.

“Apakah makanan untuk anak manusia?”

“Susu ibu...” jawapan ikut skema..

“ok..sebagai bakal ibu dan bakal bapa, saya harap anak-anak kamu semua akan membesar dengan susu ibu..kerana susu manusia adalah untuk anak manusia..dengan ilmu dan teknologi yang ada, semua ibu boleh memberikan susu ibu selama mana anak perlukan.” Saya mengambil peluang menyuntik ilmu penyusuan.

Sebagai seorang muslim, fasa akil baligh bukan hanya perubahan fizikal dan emosi sahaja tetapi ia adalah permulaan penting kepada sebuah tanggungjawab. Bermula saat inilah semua amalan akan ditaklifkan keatas individu tersebut. Tiada lagi fasa latihan untuk belajar solat, culas berpuasa dan berlebih kurang dengan tuntutan fardhu ain lain. Akil baligh sebagai muslim bermakna bermulalah fasa memikul sendiri segala akibat amal perbuatan yang dilakukan. Kerana itu, akil baligh bagi sebagai muslim adalah meninggalkan zaman kanak-kanak yang penuh mainan dan senda gurau ke sebuah kehidupan yang lebih serius dan bertanggungjawab.

Sayangnya..akil baligh tidak diangkat sebagai sebuah fasa penting dalam kehidupan seharian kita. Kita selesa menggunakan pendekatan barat dalam menilai anak-anak di depan kita sebagai REMAJA-fasa mencari identiti;penuh kekeliruan. Benarkah terdapat fasa ini didalam kehidupan seorang muslim. Sepanjang pembacaan saya dan perbincangan dengan guru agama, di dalam Islam hanya terdapat peringkat kanak-kanak dan dewasa (mukallaf). Menyedarkan anak-anak di depan kita akan kedewasaan akan melahirkan individu yang bertanggungjawab sekaligus membina jatidiri muslim yang teguh.

“kamu rasa macam mana kalau saya kata..kamu semua ni dah dewasa..”

“iskh..kami rasa macam kami dah tua ja cikgu..” respon pelajar yang agak matang.

Ya..itulah hakikatnya. Apabila kita meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada anak-anak yang sudah akil baligh, mereka akan lebih bertanggungjawab. Malangnya hari ini anak-anak yang akil baligh itu dipanggil remaja, yang seringkali pula dikaitkan dengan pelbagai permasalahan sosial dan pelbagai lagi gambaran yang negatif. Jarang sekali istilah remaja itu dikaitkan dengan nilai yang positif yang akan merangsang kecemerlangan. Secara tidak sedar kita telah merendahkan anak-anak di depan kita yang akhirnya menyebabkan mereka benar-benar tidak berkeyakinan menguruskan kehidupan sendiri. Sebenarnya anak-anak ini sudah mampu menggalas tugas-tugas penting hatta Islam sendiri mengizinkan perkahwinan seandainya telah memenuhi syarat sah nikah setelah mencapai akil baligh.

Marilah kita mengambil iktibar dari Deen yang unggul ini, bahawa anak-anak yang telah mencapai akil baligh sepatutnya dilatih menggalas tanggungjawab yang besar. Tanggungjawab menguruskan ahli keluarga, menguruskan organisasi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Betapa kita mengambil ibrah dari perjalanan hidup ramai tokoh-tokoh Islam mencapai kecemerlangan pada awal usia dewasa kerana mereka tidak terjerumus di alam REMAJA yang keliru..

Wallahualam..

No comments:

Post a Comment