Thursday, July 28, 2011

Sang Suria..

Seawal darjah satu, pelajar sudah mula mengenal matahari secara saintifik.
Namun pengenalannya mungkin merangkumi aspek umum seperti fungsi matahari yang bersesuaian dengan tahap sekolah rendah.

Hari ini aku melangkah ke kelas tingkatan 3 dengan sebuah harapan yang besar, membawa anak-anak didikku menghargai kewujudan sang suria.. Matahari adalah sebuah bintang yang terletak paling hampir dengan bumi. Ia berfungsi sebagai pusat bagi sistem suria kita.

Jika dilihat dari bumi, matahari kelihatan sebagai sebuah sfera berwarna kuning. Namun hakikatnya struktur matahari terdiri daripada 3 lapisan atmosfera iaitu korona, kromosfera dan fotosfera. Teras matahari pula ialah pusat berlakunya pelakuran nuklear untuk menghasilkan tenaga yang sangat besar.


Matahari biasanya dikaitkan dengan haba yang sangat tinggi,namun hakikatnya pelbagai lagi fenomena lain yang berlaku pada permukaan matahari. Fenomena tompok hitam pada permukaan fotosfera adalah kawasan yang lebih rendah suhu berbanding kawasan lain. Itupun suhunya mencecah 4000 oC. Siapa sangka permukaan matahari tidak sunyi dengan pancutan gas yang dipanggil fenomena prominen. Malah kejadian nyala suria yang boleh dianalogikan seperti ribut di bumi juga sering berlaku. Fenomena yang berlaku ini memberi kesan terhadap perjalanan kehidupan seharian kita.

Fenomena ini memberi kesan kepada penghantaran gelombang radio di bumi. Secara tidak langsung ia memberi kesan kepada sistem telekomunikasi dan sistem navigasi pelayaran. Fenomena ini juga memberi kesan kepada aktiviti pengkajian angkasa lepas dimana satelit yang kurang stabil boleh terjejas dengan kejadian nyala suria. Radiasi yang terhasil juga boleh memberi kesan kepada angkasawan di angkas lepas.

Matahari, sebuah bola panas yang amat kita hargai kehadirannya apabila hendak menjemur benda yang basah. Namun matahari akan menjadi objek yang kurang disenangi apabila badan dihinggap kepanasan, dan menjadi sungutan apabila peluh mula membasahi tubuh. Walau bagaimana pun perasaan kita terhadapnya, matahari masih di situ. Melakurkan hidrogen di dalam terasnya untuk menghasilkan tenaga yang sangat besar, demi keperluan seluruh makhluk di dalam sistem suria. Ia tidak pernah berganjak dari paksinya seperti ketetapanNya, malah tidak pernah leka dalam melaksanakan tugasnya. Begitulah taatnya makhluk ciptaan Allah.

Saturday, July 16, 2011

Air sebagai pelarut universal


Pelajar-pelajar, tolong senarai 10 kegunaan air kepada kita..

J: 1. Minum
2. Mandi
3. Basuh baju
4. ....

Walaupun soalannya mudah tetapi sukar juga nak melengkapkan senarai 10 kegunaan itu. Aku sengaja memulakan kelas pada waktu yang amat mencabar ini dengan soalan provokasi. Provokasi minda supaya tidak lemak dengan 'suapan' tanpa memanfaatkannya untuk berfikir.

Soalan kedua : Tuliskan SEBAB mengapa kamu gunakan air untuk setiap jawapan tadi.
Kenapa perlu minum air, kenapa mandi guna air, kenapa basuh guna air..

Aku tersenyum.. Mulai kelihatan wajah-wajah tak puas hati. Dah la panas, letih, mengantuk.. tiba-tiba minda di asak untuk berfikir.. terpacul satu suara..
"Soalan tak logik!"

Saya menyambut "Kenapa pulak tak logik, kan ada pelbagai lagi cecair lain, kenapa kita mesti guna air. Kita tak mandi guna minyak, kenapa tak membasuh guna susu,suci jugak kan.. kenapa mesti guna air?

J: "cecair lain tak dapat membersihkan..."
"kenapa?
J: ....

Kita jarang berfikir apa yang berlaku dalam lingkungan kita kerana ianya sudah terlalu biasa. Namun sesuatu yang biasa-biasa itu jika diteliti sebenarnya akan melahirnya kekaguman kepada sebuah penciptaan yang luar biasa. Air adalah satu dari ciptaanNya yang amat luar biasa. Kita akan mendapati air walau dimana jua kita berada. Kenapa tidak, bukankah 3/4 dari kandungan bumi ialah air. Air wujud dalam keadaan pepejal (ais), cecair (air) dan gas (wap air). 80% dari kandungan tubuh kita juga terdiri dari air. Tanpa air, kebiasaannya manusia kerdil seperti kita tidak mampu hidup lebih dari 5 hari. Namun jarang sekali kita menyelidik mengenai titisan-titisan yang kita hirup setiap hari ini kerana ia telah terlalu biasa untuk kita...


Berbalik kepada persoalan kenapa kita menggunakan air untuk bermacam keperluan adalah kerana sifat kimia pada air itu memungkinkan ia melarut paling banyak bahan (zat terlarut). Air berfungsi mengkatalis (mempercepatkan) hampir semua proses kimia. Namun sifat air tidak terlalu reaktif atau terlalu lambat dalam tindak balas. Paling hampir adalah proses kimia yang berlaku dalam badan kita. Jika kita kurang minum air, proses penghadaman berlaku dengan kurang sempurna dan kita akan mudah mengalami sembelit. Individu yang kurang minum air juga mudah mengalami kelesuan.

Atas keunikan sifat melarutkan pelbagai bahan, air dikenali sebagai pelarut universal. Ia sangat mempengaruhi sistem tubuh yang lancar dan keefisenan seluruh kehidupan ini. Air..sebuah ciptaanNya yang hebat untuk digunakan oleh kita demi mendekatkan diri kepadaNya..
Marilah berwuduk menggunakan air yang suci dan sujud kepada yang Maha pencipta segala sesuatu..
Allahuakbar!