Thursday, July 28, 2011

Sang Suria..

Seawal darjah satu, pelajar sudah mula mengenal matahari secara saintifik.
Namun pengenalannya mungkin merangkumi aspek umum seperti fungsi matahari yang bersesuaian dengan tahap sekolah rendah.

Hari ini aku melangkah ke kelas tingkatan 3 dengan sebuah harapan yang besar, membawa anak-anak didikku menghargai kewujudan sang suria.. Matahari adalah sebuah bintang yang terletak paling hampir dengan bumi. Ia berfungsi sebagai pusat bagi sistem suria kita.

Jika dilihat dari bumi, matahari kelihatan sebagai sebuah sfera berwarna kuning. Namun hakikatnya struktur matahari terdiri daripada 3 lapisan atmosfera iaitu korona, kromosfera dan fotosfera. Teras matahari pula ialah pusat berlakunya pelakuran nuklear untuk menghasilkan tenaga yang sangat besar.


Matahari biasanya dikaitkan dengan haba yang sangat tinggi,namun hakikatnya pelbagai lagi fenomena lain yang berlaku pada permukaan matahari. Fenomena tompok hitam pada permukaan fotosfera adalah kawasan yang lebih rendah suhu berbanding kawasan lain. Itupun suhunya mencecah 4000 oC. Siapa sangka permukaan matahari tidak sunyi dengan pancutan gas yang dipanggil fenomena prominen. Malah kejadian nyala suria yang boleh dianalogikan seperti ribut di bumi juga sering berlaku. Fenomena yang berlaku ini memberi kesan terhadap perjalanan kehidupan seharian kita.

Fenomena ini memberi kesan kepada penghantaran gelombang radio di bumi. Secara tidak langsung ia memberi kesan kepada sistem telekomunikasi dan sistem navigasi pelayaran. Fenomena ini juga memberi kesan kepada aktiviti pengkajian angkasa lepas dimana satelit yang kurang stabil boleh terjejas dengan kejadian nyala suria. Radiasi yang terhasil juga boleh memberi kesan kepada angkasawan di angkas lepas.

Matahari, sebuah bola panas yang amat kita hargai kehadirannya apabila hendak menjemur benda yang basah. Namun matahari akan menjadi objek yang kurang disenangi apabila badan dihinggap kepanasan, dan menjadi sungutan apabila peluh mula membasahi tubuh. Walau bagaimana pun perasaan kita terhadapnya, matahari masih di situ. Melakurkan hidrogen di dalam terasnya untuk menghasilkan tenaga yang sangat besar, demi keperluan seluruh makhluk di dalam sistem suria. Ia tidak pernah berganjak dari paksinya seperti ketetapanNya, malah tidak pernah leka dalam melaksanakan tugasnya. Begitulah taatnya makhluk ciptaan Allah.

No comments:

Post a Comment