Wednesday, June 29, 2011

Program pembinaan perspektif amalan kitar semula

Alhamdulilah...

Itulah kalam terbaik yang mampu ku lafazkan usai selesai program hari ini. Program yang telah berada di fikiran ku sekian bulan, akhirnya terlaksana dengan peluang, kekuatan dan pertolongan yang datang dariNya.

Tong kitar semula telah berada di sekolah ini hampir 3 bulan, taklimat penggunaan telah disampaikan pihak berwajib, namun sambutan terhadap amalan ini masih terlalu hambar. Berbekalkan semangat untuk membangunkan kesedaran dan bantuan dariNya menghantar 2 pelatih UKM untuk menjayakan program ini, program disusun dalam masa yang terhad dengan matlamat yang besar. Alhamdulillah, kesungguhan Ust Hisyam dan Ust Hamdi mengaturnya membuahkan hasil yang baik.

Program dirancangkan berlangsung dalam keadaan yang agak santai kerana hakikatnya sebahagian besar warga sekolah telah 'TAHU' mengenai kitar semula, tapi masih terlalu sedikit yang 'MAHU' melakukannya. Program dibuka dengan santapan minda dari lagu 'Atuk Oh Atuk' yang sarat dengan mesej kesedaran. Kemudian ketua fasilitator memberikan sedikit taklimat mengenai aktiviti dalam kumpulan. Semua peserta akan dipanggil PENCINTA ALAM dan mereka akan menyahutnya dengan perkataan 'HIJAU!'

Pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan mereka menyediakan bahan persembahan di dalam paparan 'Power Point'. Guru-guru yang bertanggungjawab sebagai fasilitator membimbing setiap kumpulan menyediakan bahan. Soalan-soalan yang telah diutarakan merangkumi aspek pembinaan perspektif mengenai kepentingan amalan kitar semula.

Selepas 40 minit, setiap kumpulan diminta tampil kehadapan untuk mempersembahkan simbolik kumpulan masing-masing. Pelbagai penampilan kreatif ditonjolkan seperti lagu..pantun..lakonan spontan dan slogan berkaitan kempen kitar semula. Selepas semua kumpulan menyampaikan persembahan mengenai kitar semula, ketua fasilitator membuat kesimpulan untuk kandungan persembahan.

Sebagai penutup ringkas, pengarah program iaitu Ustaz Hisyam memberikan sedikit ucapan dan diikuti amanat oleh saya selaku guru yang akan melaksanakan program kitar semula bersama pelajar kelak. Saya mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan pelajar yang sukarela membantu menguruskan bahan kitar semula yang telah dikumpul. Saya juga mengumumkan hari RABU sebagai hari untuk membawa bahan dari rumah. Saya telah mengedarkankan memo kempen ini untuk pelajar titipkan kepada keluarga masing-masing. Semoga usaha kecil untuk membangunkan kesedaran menjaga alam ini dihitung sebagai ibadah disisiNya. Alam ini pasti tidak akan kembali seperti asal kerena hukum mahkluk itu akan mengalami kehancuran kelak, namun sekurang-kurangnya inilah usaha kita dalam melaksanakan amanah menjaga ciptaanNya..

Ayuh..fikir dulu sebelum buang!

No comments:

Post a Comment