Wednesday, November 23, 2011

Mikroorganisma dalam makanan

Aktiviti lepas PMR dipenuhi dengan pelbagai praktis yang lebih menarik minat pelajar.
Hakikatnya pembelajaran berasaskan aktiviti adalah jauh lebih bermanfaat berbanding teori yang lebih memenuhi keperluan peperiksaan.
Hakikatnya pelajar yang dapat menghafal jenis-jenis mikroorganisma masih lagi tidak 'sedar' kehadiran makhluk tersebut di sekeliling kita.

Pagi khamis itu saya memilih untuk memasak bersama pelajar tingkatan 3. Bukan menu masakan yang menjadi tumpuan tetapi proses yang berlaku dalam makanan yang menjadi topik perbincangan. Tambahan pula saya bukanlah pakar dalam bidang masakan, tapi minat tu adala..

Menu hari ini ialah ROTI ARAB!

Penerimaan awal pelajar.. "Ha!Roti apa tu?" respon dengan wajah kurang berminat. Maklumlah majoriti pelajar kami adalah lelaki!

Saya mulakan dengan mukaddimah memujuk.. "Roti arab ni senang ja nak buat. Manalah tau satu hari nanti kamu kat perantauan terpaksa memasak, haa..kan berguna ilmu yang saya nak ajar ni.."

Saya bahagikan pelajar kepada kumpulan-kumpulan kecil supaya semua ada kerja nak buat. Kemudian setiap kumpulan mendapat bekas dan bahan yang diperlukan.

Saya ajukan langkah pertama "Pertama sekali aktifkan yis!"

"Yis tu apa cikgu?"

"Wei..kan kita dah belajar dalam kelas, yis tu adalah sejenis kulat. Betul tak cikgu?"

Betul. Yis adalah sejenis kulat. Ia terdapat di pasaran dalam bentuk yis basah dan yis kering. Bagi yis kering, adalah digalakkan untuk mengaktifkannya sebelum digunakan. Manalah tau yis tu dah rosak, alamatnya semua makanan yang dibuat tak 'naik'.

Cara untuk aktifkan yis yang mudah ialah masukkan yis + gula + sedikit air, biarkan seketika.

"Fuyyo..macam ayaq gas la! Sempoi..."

Ya. ia akan berbuih seperti minuman karbonat kerana kandungan gasnya adalah sama.

"Buih ini terhasil menunjukkan kehadiran gas kerana yis yang hidup akan bernafas. Apakah gas yang terbebas semasa pernafasan?"

"Gas karbon dioksida. Owh..jadi yang berbuih ni gas karbon dioksida lah cikgu?"

Saya hanya senyum. Tidak perlu huraian panjang lebar kerana sememangnya pembelajaran sebegini adalah lebih mudah difahami. Kemudian pelajar mula mencampur bahan-bahan mengikut sukatan suka hati dan mula menguli. Mungkin jarang diberi peluang melakukan tugasan begini dirumah, pelajar lelaki terserlah kesungguhannya menguli sehingga menghasilkan adunan paling lembut!

Selepas adunan sebati, doh direhatkan seketika sementara proses 'penaikan' berlaku. Waktu ini Cikgu Narimah mengambil alih seisi kelas untuk mengajar membuat kuah pencicah. Terserlah keayuan pelajar perempuan memasak dan 'keyakinan yang tinggi' pelajar lelaki mencampak semua bahan ke dalam kuali. Belasah je la, korang jugak yang nak makan..

"Cikgu...tengok ni doh dah naik tinggi!"

Ia, itu adalah satu lagi sumbangan encik Yis untuk menghasilkan adunan yang lembut dan gebu. Saya hanya bercerita secara ringkas mengenai proses pernafasan yis yang menyebabkan adunan mengembang begitu. Sebelum adunan dibentuk, saya menumbuk-numbuk doh untuk mengeluarkan angin, jadi ia mengecil semula. Terbukti bukan doh yang mengembang tetapi udara yang memenuhi ruang di dalam doh.

Intipati pembelajaran telah tercapai. Sekarang masanya mereka membentuk, menggoreng dan seterusnya mencamah air tangan sendiri. Semoga Minda dan perut kalian kenyang dengan ilmu yang diperolehi hari ini. Wallahualam.