Saturday, April 2, 2011

Hari Sains dan Matematik 2010

Cerita 2010 pada 1 April 2011.. :-D. Saya sedang dalam mood membuat laporan program tahun 2010. Inilah masalah nak disiplinkan diri membuat dokumentasi,apatah lagi program lahir dari inisiatif kami sendiri dan dilaksanakan tanpa pemantauan, dan perlu membuat laporan untuk simpanan fail sendiri. Apapun ia penting untuk rujukan pada masa depan.

Tahun 2010, bidang Sains dan Matematik mencipta sejarahnya sendiri apabila berjaya menganjurkan Hari Sains dan Matematik dengan inisiatif sendiri. Kami juga melakar sejarah untuk generasi SABK ini dengan mengangkat pelajar sebagai jawatankuasa program. Walaupun mereka belum dapat berfungsi dengan mandiri, namun penglibatan mereka dalam menjayakan program ini amat menggalakkan.

Saya kongsikan beberapa aktiviti yang berlangsung di dalam program yang sederhana ini. Tirai program dibuka dengan tayangan multimedia “Dunia Sains dan Matematik”. Tayangan ini memuatkan video-video berkaitan aplikasi sains dan matematik dalam kehidupan seharian. Dimuatkan juga video eksperimen sains yang mudah yang boleh pelajar lakukan sendiri di rumah.

Aktiviti diteruskan lagi dengan demonstrasi membuat larutan pH oleh Cikgu Noorul. Larutan berasaskan kubis ungu ini digunakan untuk mengenalpasti jenis larutan samada asid,neural atau alkali. Aktiviti ini sangat menarik minat pelajar kerana mereka dapat melihat perubahan warna pada larutan pH itu berlaku,apatah lagi ia dihasilkan menggunakan barangan harian sahaja. Jadi, sains bukanlah satu ilmu yang terpisah dari kehidupan sebenar. Sains adalah satu ilmu untuk kita lebih memahami realiti kehidupan seharian..


DAM ANACONDA! Dam yang diadaptasi dari dam ular ini adalah untuk memeriahkan lagi aktiviti kuiz antara kumpulan. Dam yang memenuhi hampir 1/3 dewan sekolah kami ini akan menggunakan model dari setiap kumpulan sebagai ‘buah’. Keterujaan pelajar untuk ‘memanjat tangga’ menyebabkan mereka gigih menjawab walaupun soalan matematik tersebut agak sukar.

Seisi persekolahan berhenti rehat, tetapi program tetap diteruskan secara santai. Waktu satu jam diberikan untuk pelajar menyelesaikan keperluan diri, melawat ke tapak pameran serta menjawab soalan kuiz berasaskan bahan pameran. Kuiz ini antara lain adalah untuk menggalakkan semua pelajar melihat bahan pameran secara terperinci. Dan bonus yang kami perolehi dari aktiviti ini ialahruap-rupanya pelajar kami tidak mahir membuat slogan!

Selepas waktu rehat, sambil menunggu makanan masing-masing dihadam dengan sempurna, program diteruskan dengan aktiviti hands-on di dalam kumpulan. Diantara modul yang dijalankan ialah permainan matematik menggunakan kayu aiskrim, membuat cermin sendiri, menghasilkan periskop dan melancarkan belon panas.

Majlis penutup dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Jika kau fikirkan boleh’ yang dibimbing oleh ketua bidang kami, Pn Hafizan. Kemudian ucapan ketua bidang dan ucapan pengetua menyusul. Seisi yang ditunggu-tunggu ialah majlis penyampaian bagi peserta/kumpulan yang berjaya menonjol bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Selepas mengemas dewan, seisi bergambar kenangan menyusul.